Bagi pengundi yang akan mengundi esok, terdapat 10 langkah pengundian yang akan dilalui oleh para pengundi semasa mengundi di dalam pilihan raya.
Langkah pengundian ini penting bagi memastikan proses pengundian berjalan dengan lancar dan tertib di setiap pusat mengundi.
Orang ramai perlu mengambil perhatian mengenai langkah pengundian yang telah ditetapkan.
Berikut merupakan 10 langkah pengundian semasa membuang undi:

Langkah Pertama
Sila masuk apabila dibenarkan oleh anggota polis yang mengawal selia pintu masuk.
Langkah Kedua
Serahkan MyKad/dokumen pengenalan diri dan slip semakan (sekiranya ada) kepada kerani pengundian pertama.
Tunjukkan kedua-dua belah tangan untuk diperiksa.
Langkah Ketiga
Kerani pengundian pertama akan memberikan MyKad/dokumen pengenalan diri pengundi kepada kerani pengundian kedua untuk pengesahan.
Pastikan no kad pengenalan dan nama anda telah diteriakkan oleh kerani pengundian pertama adalah tepat.
Langkah Keempat
Bergerak ke hadapan kerani pengundian kedua.
Celupkan jari telunjuk tangan kiri ke dalam botol Dakwat Pilihan Raya apabila diminta oleh Kerani Pengundian Kedua.
Langkah Kelima
Terima kertas undi daripada kerani pengundian ketiga.
Dalam masa yang sama, kerani pengundian pertama akan membuat penandaan nama anda dalam Buku Daftar Pemilih Pilihan Raya apabila jari anda dicelupkan ke dalam botol Dakwat Pilihan Raya.
Langkah Keenam
Bergerak ke meja Ketua Tempat Mengundi untuk meninggalkan telefon bimbit.
Langkah Ketujuh
Maju ke petak undi dan tandakan ‘X’ pada kertas undi di ruang kosong bersebelahan dengan nama dan simbol calon dalam Kertas Undi dengan menggunakan pen.
Diingatkan, pilih satu calon sahaja.
Langkah Kelapan
Masukkan kertas undi dalam peti undi yang disediakan dengan betul.
Langkah Kesembilan
Bergerak ke meja Ketua Tempat Mengundi sekali lagi untuk mengambil telefon bimbit.
Langkah Kesepuluh
Segera tinggalkan tempat mengundi setelah selesai mengundi.
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut mengenai langkah pengundian, sila layari laman web SPR iaitu https://www.spr.gov.my/.