Cara Memohon ADAM50: RM200 Untuk Bayi Lahir Tahun 2018

0

Skim ADAM50 pertama kali diperkenalkan pada pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini. Berikut dikongsikan cara memohon ADAM50 atau Amanah Dana Anak Malaysia 2050.

Melalui skim ini, setiap bayi yang dilahirkan bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022 akan dihadiahkan Dana Tabungan Permulaan sebanyak RM200 melalui unit Amanah Saham.

Objektifnya adalah untuk menggalakkan budaya simpanan dan pelaburan rakyat Malaysia daripada seawal usia dengan pemberian unit insentif percuma sebagai modal pelaburan permulaan.

Maksudnya, tabungan ini bukan berbentuk wang tunai, tetapi merupakan unit amanah ASB (bagi Bumiputera) atau AS1M (bagi bukan Bumiputera).

Cara Memohon ADAM50

Pendaftaran ADAM50 hendaklah dilakukan dalam tempoh setahun selepas bayi dilahirkan.

Sekiranya gagal mendaftar dalam tempoh tersebut, kelayakan untuk menadapatkan unit insentif percuma akan terbatal.

Pendaftaran boleh dibuat di mana-mana Cawangan ASNB atau ejen ASNB di seluruh negara seperti:

  • Maybank
  • Maybank Islamic
  • CIMB
  • CIMB Islamic
  • RHB
  • RHB Islamic
  • Pos Malaysia
  • Bank Simpanan Nasional
  • Affin Bank
  • Alliance Bank
  • AmBank
  • AmBank Islamic

Sila bawa bersama beberapa dokumen yang diperlukan seperti:

  • Kad pengenalan (MyKad) ibu/bapa/penjaga berdaftar
  • MyKid bayi atau Sijil Kelahiran
  • Sebarang dokumen sokongan seperti Surat Pertalian Darah, perintah mahkamah dan lain-lain jika penjaga berdaftar bukan dalam kalangan ibu atau bapa bayi

Penting! 200 unit insentif tersebut tidak boleh dijual semula dan hanya boleh dikeluarkan setelah anak mencapai usia 18 tahun.

Peserta juga tidak boleh menarik diri setelah pendaftaran dilakukan, melainkan peserta tidak lagi memenuhi kriteria kelayakan am pelaburan ASNB, sebagai contoh status pertukaran Wargenegara.

SOALAN LAZIM

Q: Bolehkah saya menamakan peserta ADAM50 sebagai penerima Hibah Amanah/Pengisytiharan Amanah?

A: Ya, boleh. Pemberi Hibah/Pengisytiharan Amanah perlu melantik Penjaga Sah bagi penerima yang berumur 18 tahun ke bawah.

Q: Sekiranya anak saya menerima Harta Hibah/Pengisytiharan Amanah yang melebihi had maksimum individu tabung, adakah harta tersebut akan dibayar secara tunai?

A: Tidak. Harta tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun peserta sekaligus meningkatkan had pelaburan maksimum daripada had sedia ada kepada had baharu, tertakluk kepada amaun Harta tersebut. Contohnya, peserta menerima Harta berjumlah 100,000 unit, had maksimum peserta akan meningkat daripada 50,000 unit kepada 150,000 unit.

Q: Sekiranya peserta meninggal dunia sebelum tempoh matang, apakah yang akan terjadi terhadap akaun tersebut?

A: Unit insentif serta segala pengagihan pendapatan yang terakru akan dilepaskan, serta segala baki akaun akan di bayar kepada waris. Sila rujuk laman sesawang ASNB bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan kaedah tuntutan harta pusaka.

Q: Sekiranya ibubapa atau penjaga bayi diisytiharkan Muflis, adakah kelayakan peserta di tarik balik?

A: Tidak. Peserta masih layak menyertai program. Sebarang baki pelaburan dalam akaun peserta tidak akan dibayar ke Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) sekiranya penjaga diisytiharkan Muflis. Akan tetapi, penjaga berdaftar baharu dikehendaki membuat penukaran penjaga peserta di Cawangan atau Ejen ASNB dengan membawa segala dokumen sokongan bagi tujuan penukaran penjaga.

Leave A Reply

Your email address will not be published.