Daftar Haji bagi Tahun 2018 / 1439H : Kos Dan Bayaran

Daftar Haji 2018. Ibadah haji merupakan rukun islam dan wajib ditunaikan oleh umat Islam bagi mereka yang berkemampuan. Di Malaysia, Tabung Haji telah ditubuhkan bertujuan untuk umat Islam menyimpan untuk tujuan menunaikan haji.

Pada tahun 1995, Tabung Haji telah memperkenalkan sistem pendaftaran terbuka. Bagi mereka yang telah mendaftar, Tabung Haji akan memperuntukkan tahun untuk menunaikan ibadah haji berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran dibuat.

Hanya mereka yang berdaftar sahaja yang layak untuk dipilih menunaikan haji apabila tiba tahun giliran.

Cara Daftar Haji

Untuk daftar Haji, pemohon perlulah mematuhi syarat berikut:

  • Minimum baki Tabung Haji sebanyak RM1,300.
  • Tiada rekod pendaftaran haji yang aktif(satu pendaftaran sahaja dibenarkan).
  • Pendaftaran haji tidak dibenaran bagi mereka yang baru menunaikan haji dalam tempoh 5 tahun. Pendaftaran semula hanya dibenarkan 5 tahun selepas menunaikan haji.
  • Pendaftaran haji ahli KWSP boleh dilakukan dengan syarat berumur bawah 55 tahun.

Pendaftaran haji boleh dilakukan di:

  • Mana-mana cawangan Tabung Haji
  • ATM / CDM Maybank
  • ATM Bank Islam Malaysia Berhad
  • Cawangan Uniteller Bank Islam dan Bank Rakyat
  • THiJARI

Pendeposit perlu membawa MyKad (dokumen pengenalan diri) atau Sijil Kelahiran bagi berumur 12 ke bawah semasa melakukan pendaftaran haji di kaunter-kaunter Tabung Haji.

Nota: Bagi mereka yang telah layak dan terpilih untuk menunaikan, Haji, mereka perlu memastikan nama mereka tidak disenarai hitam untuk keluar negara.

Kos Dan Bayaran Haji

Kos Haji adalah kos-kos yang berkaitan pengendalian aktiviti-aktiviti asas jemaah Muassasah yang perlu dikendali dan dibayar oleh Tabung Haji seperti:

  • kos penerbangan
  • kos pengangkutan
  • kos penginapan
  • kos penginapan di Makkah, Madinah dan Jeddah
  • kos makan minum
  • bayaran kepada pihak berwajib di Arab Saudi

Kos haji langsung jemaah Pengelola Jemaah Haji(PJH)/ Tabung Haji Travel & Services(THTS) adalah tidak termasuk kos penginapan dan kos makan minum yang dikendali sendiri oleh PJH/THTS.

Berikut ialah kos dan bayaran haji bagi tahun 2018:

Jenis Jemaah: MuassasahKos Haji (RM)Subsidi dari Tabung Haji (RM)Jumlah perlu dibayar (RM)
Warganegara
belum tunai haji
RM 22,450RM 12,470RM 9,980
Warganegara
telah tunai haji
RM 22,450 + SR2,000 fi visaTiadaRM 22,450 + SR2,000 fi visa

Nota: Tertakluk kepada peraturan pengeluaran visa semasa, jika dikuatkuasakan.

Kos Haji langsung bagi tahun 1439H adalah berjumlah RM22,450 seorang. Bayaran Haji bagi bakal haji(BH) yang menunaikan haji buat pertama kali bagi dirinya dan pergi secara Muassasah adalah sebanyak RM9,980 seorang, iaitu Tabung Haji masih memberikan subsidi sebanyak RM12,470 seorang.

Subsidi hanya diberikan kepada mereka menunaikan haji pertama kali dan secara Muassasah. Tabung Haji masih menanggung kos haji tidak langsung bagi jemaah Malaysia secara keseluruhannya seperti:

  • kos penerbitan buku dan risalah panduan haji,
  • kos berkaitan kursus haji,
  • kos petugas haji, kebajikan dan perubatan,
  • kos operasi berkaitan haji di tanah air; dan
  • kos perkhidmatan tambah nilai yang disediakan untuk seluruh jemaah haji Malaysia.

Pembatalan Atau Penundaan Tunai Haji

Bagi mereka yang telah menerima tawaran untuk menunaikan haji tetapi berhasrat untuk menunda, iaitu membatalkan pemergian haji boleh mengemukakan permohonan ke pejabat Tabung Haji yang berhampiran. Caj bagi pembatalan atau penundaan akan dikenakan mengikut kadar tertentu.

Walaubagaimanapun, tiada jaminan bakal haji untuk menunaikan haji pada tahun berikutnya kerana ia tertakluk pada kekosongan tahun tersebut.

Kadar denda yang dikenakan kepada bakal haji yang menunda atau membatalkan adalah seperti berikut:

  1. Kategori 1
    Potongan RM500, pembatalan selepas 1 Ramadhan
  2. Kategori 2
    Potongan RM2000, pembatalan selepas jadual penerbangan haji dikeluarkan atau telah diperuntukkan kapal terbang.
  3. Kategori 3
    Potongan RM4000, pembatalan selepas visa haji diperoleh

Untuk maklumat lebih lanjut, layari https://www.tabunghaji.gov.my/.

 

Leave a Reply