Panduan & Cara Daftar Haji Melalui Tabung Haji & KWSP

Umat Islam di Malaysia lazimnya membuat pendaftaran Haji melalui institusi Islam yang ditubuhkan oleh kerajaan iaitu Tabung Haji.

Lembaga Tabung Haji merupakan sebuah badan berkanun yang tertakluk di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) yang mana aktiviti utama institusi ini ialah pengurusan haji, tabungan dan pelaburan.

Sejak dari tahun 1995, Tabung Haji telah memperkenalkan sistem pendaftaran untuk menunaikan haji terbuka berdasarkan konsep “Mendaftar Dahulu, Didahulukan.”

Ini bermaksud, semua Pendeposit Tabung Haji yang telah membuat pendaftaran untuk mengerjakan Haji adalah layak dipilih untuk menunaikan haji apabila tiba giliran tahun peruntukan bagi menunaikan haji.

Syarat Pendaftaran

Untuk mendaftar, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi oleh orang ramai iaitu:

  1. Individu tersebut mempunyai baki minimum dalam akaun Tabung Haji sebanyak RM1,300.00.
  2. Individu tersebut tidak pernah menunaikan fardu haji.
  3. Membawa dokumen pengenalan diri (MyKad) dan Sijil Kelahiran bagi yang berumur 12 tahun ke bawah semasa melakukan pendaftaran di kaunter Tabung Haji.
  4. Tidak melebihi 6 orang bagi satu kumpulan.

Cara Mendaftar

Untuk mendaftar melalui Tabung Haji, individu hanya perlu membawa kad pengenalan ke kaunter Tabung Haji yang berhampiran dan memastikan mempunyai baki minimum dalam akaun sekurang-kurangnya sebanyak RM1,3000.

Lokasi cawangan Tabung Haji seluruh negara boleh dirujuk melalui pautan https://www.tabunghaji.gov.my/ms/korporat/direktori/pejabat-cawangan.

Selain itu, individu juga boleh mendaftar Haji melalui aplikasi THiJARI dan cara mendaftar adalah seperti berikut:

  1. Layari laman web https://www.thijari.com.my/ atau muat turun aplikasi ini di telefon bimbit
  2. Log masuk dengan memasukkan ID Pengguna dan kata laluan.
  3. Pergi ke ‘Perkhidmatan Haji.’
  4. Klik bahagian ‘Pendaftaran Haji’ dan butang ‘Tambah Pemohon.’
  5. Isikan maklumat yang diperlukan.
  6. Akhir sekali, buat pengesahan maklumat.

Pendaftaran Melalui KWSP

Selain itu, individu juga boleh mendaftar melalui KWSP jika individu tersebut merupakan pencarum KWSP.

Individu tersebut hanya perlu mengemukakan kad pengenalan dan penyata ahli KWSP semasa membuat pendaftaran bagi mengerjakan haji.

Mereka yang telah mendaftar haji sebelum ini boleh menukarkannya kepada skim pendaftaran haji KWSP dengan mengemukakan kad pengenalan dan penyata ahli KWSP mereka dengan tahun pilihan/peruntukan haji mereka yang asal akan dikekalkan.

Individu yang layak untuk mendaftar Haji melalui KWSP adalah seperti berikut:

  • Warganegara Malaysia.
  • Individu terbabit mestilah beragama Islam.
  • Mempunyai simpanan KWSP sekurang-kurang RM1,300.00.
  • Mestilah berumur 14 hingga 55 tahun sahaja.

Pertanyaan Lanjut

Sebarang pertanyaan mengenai pendaftaran Haji, sila hubungi Tabung Haji Contact Centre di talian 03-6207 1919.

Leave a Comment