Bajet 2018

Pembentangan Bajet 2018: Harapan Rakyat Selain Kenaikan Elaun & Gaji

Apakah harapan rakyat sempena pembentangan Bajet 2018 yang akan berlangsung 27 Oktober nanti?

Menerusi laman web rasmi Perdana Menteri, antara point yang paling disukai adalah kenaikan gaji dan elaun kakitangan awam.

Ramai yang meluahkan hasrat tersebut akibat kos sara hidup yang makin meningkat setiap hari.

Antara point menarik dari saudara Richard Samie, “Memandangkan kos sara hidup semakin meningkat, saya cadangkan agar gaji dinaikkan sebanyak 4% mengikut kadar inflasi semasa.”

Tambah beliau peningkatan elaun perumahan dapat meringankan beban penjawat awam bila pendapatan meningkat, secara tidak langsung kuasa beli pengguna akan turut meningkat. Rakyat tetap akan berbelanja. Ini akan merancakkan ekonomi negara. Bila perbelanjaan meningkat, pendapatan negara turut meningkat.

Pembentangan Bajet 2018: Harapan CEUPACS

Selain itu, berikut dikongsikan 3 harapan CEUPACS pada pembentangan bajet 27 Oktober nanti.

  1. Insentif 2 kenaikan gaji tanpa mengira kumpulan pekerjaan dan pangkat.
  2. Kaji semula kadar elaun khidmat awam (bagi kumpulan paling rendah) yang kini sebanyak RM95. Penetapan minima elaun RM180
  3. Pertimbangkan untuk memperluas kenaikan pangkat secara ‘time-based’ kepada kumpulan penjawat awam lain.

Dalam pada itu, Cuepacs juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan beberapa cadangan dan tuntutan yang dikemukakannya demi memelihara kebajikan dan integriti penjawat awam.

Timbalan Presiden II Cuepacs Zainal Ismail berkata pihaknya menuntut kerajaan supaya mempertimbangkan kenaikan gaji asas penjawat awam, elaun, bonus dan kenaikan gred untuk  diumumkan pada pembentangan Bajet 2018.

“Kami menuntut semakan gaji dapat dibuat dengan mempertimbangkan kenaikan gaji tahunan, menyelaraskan beberapa elaun, bonus sebulan gaji dan tempoh kenaikan gred daripada 13 tahun kepada 10 tahun.

“Permohonan ini diharap dapat dipertimbangkan supaya penjawat awam dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik setanding dengan negara-negara maju,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Dwitahunan Kali ke-14 Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM) Malaysia di Kepala Batas.

Katanya tuntutan itu juga seiring dengan hasrat kerajaan yang ingin meningkatkan mutu perkhidmatan awam berkelas dunia dan pihaknya sangat berharap kerajaan dapat menunaikannya bagi memberi inspirasi kepada penjawat awam.

Zainal berkata Cuepacs telah menghantar semua tuntutan dan cadangan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan berharap ia dapat direalisasikan serta diumumkan pada pembentangan Bajet 2018.

Katanya Cuepacs  bukan kumpulan yang ingin menekan kerajaan tetapi tuntutan itu dibuat berdasarkan kepada kemampuan kerajaan yang pihaknya tahu bahawa pimpinan sekarang mampu merealisasikannya.

Beliau berkata ketika ini terdapat 1.602 juta penjawat awam di negara ini yang berkhidmat kepada kerajaan untuk memajukan negara dan sentiasa membela kerajaan.

“Kestabilan ekonomi negara kita sekarang mendapat pengiktirafan antarabangsa, dan Cuepacs yakin tuntutan itu tidak akan membebankan kerajaan demi kepentingan penjawat awam,” katanya.

Leave a Reply