Bajet 2018

Tinjauan Bajet 2018: Kos Sara Hidup Antara Topik Hangat Pilihan Rakyat

tinjauan bajet 2018

Kita semakin hampir ke hari pembentangan Bajet 2018.

Hasil tinjauan di blog Perdana Menteri mendapati antara topik hangat yang menjadi pilihan rakyat adalah “Kos Sara Hidup” yang kita sedia maklum semakin hari semakin meningkat.

Penjawat awam tentunya tidak sabar menantikan detik gembira seperti yang dijanjikan.

Adakah harapan CEUPACS untuk kenaikan gaji akan menjadi kenyataan?

Tinjauan Bajet 2018

Terdapat beberapa kategori yang menjadi intipati utama Bajet 2018. Antaranya:

  • Kos Sara Hidup
  • Pendidikan
  • Perumahan & Kehidupan Bandar
  • Pekerjaan
  • Pencukaian, Perniagaan & Kewangan
  • Keselamatan Awam & Ketelusan
  • Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan
  • Pengangkutan & Infrastruktur
  • Pembangunan Desa
  • Ekonomi Digital
  • Alam Sekitar & Pertanian
  • Kebajikan Sosial: OKU & Kurang Bernasib Baik
  • Belia & Sukan
  • Budaya & Pelancongan

Untuk maklumat lanjut, ikuti pembentangan Bajet 2018 pada hari Jumaat, 27 Oktober secara langsung bermula jam 3.30 petang di Facebook & YouTube rasmi Perdana Menteri.

Mansuh Yuran Pentadbiran PTPTN

Antara cadangan menarik yang menjadi perhatian adalah pemansuhan yuran pentadbiran PTPTN.

Kerajaan diminta mempertimbangkan pemansuhan yuran pentadbiran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak satu peratus hingga 3 peratus.

Pengerusi Biro Profesional Muda Umno, Shahril Hamdan berkata, yuran tersebut merumitkan situasi kewangan graduan yang sudah pun terbeban dengan kos sara hidup.

“Tindakan pemansuhan ini akan mengurangkan pendapatan kerajaan sebanyak RM3.5 bilion ke RM4 bilion.

“Namun pada sudut lain, anggaplah ia sebagai langkah menambah pendapatan boleh guna golongan muda dengan jumlah yang sama secara terus dan langsung,” katanya dalam kenyataan.

Beliau dalam masa sama turut mencadangkan kerajaan melaksanakan langkah-langkah yang boleh merangsang pendapatan secara langsung.

Menurutnya lagi, ia boleh mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup rakyat.

“Meski kita percaya teori bahawa gaji naik seiring dengan produktiviti, ianya akan mengambil masa. Apa yang diperlukan golongan muda adalah suntikan kepada kuasa membeli untuk jangka masa pendek yang tidak semestinya datang dalam bentuk kenaikan gaji semata-mata.

“Generasi muda kebanyakannya mempunyai tahap kesedaran teknologi digital yang tinggi. Justeru, secara konsepnya orang mudalah yang berada pada kedudukan terbaik mendapat manfaat dan faedah ekonomi daripadanya.

“Skim seperti eRezeki dan eUsahawan di bawah MDeC dan program pecutan di bawah MaGIC telah membantu ribuan usahawan Malaysia dalam meningkatkan pendapatan melalui saluran ekonomi digital; malah ramai yang berkecimpung dalam arena ini tanpa meninggalkan pekerjaan tetap mereka. Besar harapan anak muda agar inisiatif-inisiatif seperti ini digandakan dalam Belanjawan 2018 agar ianya dapat sampai kepada lebih ramai individu dan tidak tertumpu kepada sesetengah kelompok elit sahaja,” katanya lagi.

Shahril dalam masa sama turut meminta kerajaan menambahbaik kualiti infrastrutkur dan perkhidmatan di negara ini.

“Selain isu pendapatan, orang muda juga menilai kualiti hidup mereka melalui sentuhan dari perkhidmatan asas dan infrastruktur awam yang digunakan. Program pemulihan dan kaunseling untuk kes-kes sosial wajar mendapat perhatian dalam belanjawan ini.

“Insiden tragis kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah membuka mata banyak pihak terutamanya orang awam yang menuntut supaya pematuhan piawai keselamatan dipertingkatkan,” katanya lagi.

Leave a Reply